Jom Klik

Friday, April 15, 2011

Tragis....

Penghujung trauma

BESUT: Hasrat lima rakan karib keluar bersiar-siar untuk menghilangkan perasaan trauma selepas asrama mereka diceroboh perompak berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka menemui ajal selepas terbabit kemalangan jalan raya di sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 6 pagi, lima pelajar kejururawatan daripada Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Bachok, Kelantan, menaiki Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas bersiar-siar di bandar raya Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tiga yang terbunuh ialah pemandu kereta, Nur Diana Mohd Noor, 22, dari Kota Tinggi, Johor, Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, dari Taman Rahmat, Tanah Merah, Kelantan dan Zur Irah Zakaria, 19, dari Kampung Titian Baru, Atas Tol, Kuala Terengganu.
Dua lagi rakan mereka, Bazilah Abdullah, 19, dari Lot 2051 Kampung Tiong Dalam, Kota Bharu, Kelantan dan Nur Adilah Mohd Ghazali, 19, dari Kampung Kelewek, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan, parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kejadian berlaku di Kilometer 104, Jalan Jertih-Kuala Terengganu, apabila kereta dipandu Nur Diana cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah bertentangan.

Seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nor berkata, dia pada awalnya ingin turut serta bersama lima rakannya itu ke Kuala Terengganu selepas beberapa kali diajak Nur Diana, tetapi menolak pelawaan itu kerana tidak sihat.
Nor berkata, semua rakannya meninggalkan asrama mereka di Bachok kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, mereka ke Kuala Terengganu untuk makan angin dan menenangkan perasaan selepas terkejut asrama pelajar wanita diceroboh perompak pada Subuh kelmarin.
“Mereka trauma selepas melihat seorang lelaki bertopeng menceroboh masuk asrama menyebabkan mereka menenangkan fikiran di Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun, saya dikejutkan panggilan telefon seorang rakan lain yang memaklumkan mereka terbabit kemalangan di Jertih ketika dalam perjalanan pulang,” katanya ketika ditemui di Hospital Besut (HB), semalam.

Menurutnya, lima sahabat itu dipercayai meminjam kereta rakan lain dan tidak tidur ketika berada di bandar raya berkenaan, sebaliknya berangkat pulang selepas beberapa jam bersiar-siar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Nor Zainy Mohd Noor, berkata Nurul Shahidah yang tercampak keluar dari kereta meninggal dunia di HB kira-kira jam 7 pagi, manakala Nur Diana dan Zur Irah maut di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori terbabit, Khairi Ayob, 43, dari Kampung Alur Keladi, dekat sini, cedera ringan dan sudah diambil keterangan.

“Perodua Viva dinaiki mangsa rosak teruk di bahagian hadapan akibat pelanggaran dengan lori tangki menyebabkan ia berpusing balik ke arah Kuala Terengganu manakala lori terbabit terbabas ke dalam parit,” katanya.

 

 

8 comments:

  1. kesiannya.lagi bertambah trauma la diorang.

    ReplyDelete
  2. takziahhh...

    al fatihah..

    ajal hanya Tuhan yang tahu..

    ReplyDelete
  3. teroknye..
    aduhhh..
    al-fatihah..

    ReplyDelete
  4. innalillah...
    kesiannya...
    takziahhh..
    AL-FATIHAH...

    ReplyDelete
  5. al fatihah...malang tak berbau..ajal tak kenal masa dan tempat..apa yang terjadi ada hikmah.

    ReplyDelete
  6. Ada hikmah d sbalik semua ni..
    Smoga roh dtempatkn brsama mrk2 yg beriman. InsyaAlla..

    p/s: agk sedih time bce citer ni pg td.. ~_~
    na'uzubillah..

    ReplyDelete
  7. story, cik hani,cik ezy,adan, solihin,furball & hafriz : same2 lah kite sedekahkan al-fatihah & surah yasin.

    ReplyDelete

Popular Posts