PENDAPAT 1
ULAMA ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah.
Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunah Nabi s.a.w.
Firman Allah s.w.t: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang- orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)
Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.a, “Maksud ‘amalan yang lebih baik’ ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar, nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas, juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunah.”
Tambahan pula Rasulullah s.a.w. ialah contoh teladan terbaik kepada seluruh umat Islam. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab: 21)
Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunah Baginda seperti berikut:
* Waktu perlaksanaan ibadah korban.
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat Hari Raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Sabda Rasulullah: Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1961)
Sabda Rasulullah lagi, “Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan”. (riwayat Ahmad di dalam Musnadnya no: 16151).
* Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.
Hendaklah dipastikan haiwan yang hendak dikorbankan itu adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.
Sabda Rasulullah: Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus). (riwayat Abu Daud dalam Sunannya no: 2420).
* Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.
Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak dari 1 Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah tersebut.
Sabda Rasulullah: Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1977).
Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.
Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).
* Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.
Jabir r.a berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah ketika di Hudaibiah. Seekor unta untuk tujuh orang dan menyembelih lembu untuk tujuh orang bersama-bersama Rasulullah. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1318).
Adapun bagi kambing hanya diperbolehkan untuk satu penama sahaja.
* Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.
Seseorang dibenarkan berkorban dan berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian daripada tujuh bahagian itu.
Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah. Lalu Abu Ayyub menjawab: “Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain.” (riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya no: 1425).
* Ibadah korban dilaksanakan di musolla.
Disunatkan melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.
Menurut Ibnu Umar r.a, Rasulullah bersabda: Sudah menjadi kebiasaan Baginda menyembelih dan berkorban di musolla. (riwayat Bukhari di dalam Sahihnya no: 5552).
* Sunat menyembelih sendiri haiwan korban.
Sunah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.
Anas r.a berkata: Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan Baginda sendiri. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 5565).
Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.
* Menyembelih haiwan korban mengikut sunah.
Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta.
Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan untuk berbuat baik dalam segala hal. Ketika kalian membunuh, maka berbuat baiklah dalam membunuh tersebut, dan ketika kamu menyembelih berbuat baiklah dalam penyembelihan, dan hendaknya salah seorang di antara kalian menajamkan pisaunya dan memudahkan untuk haiwan sembelihannya. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1955)
Sebelum menyembelih, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca bismillahi wallahu akbar.
* Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.
Sunat bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan menyedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.
Sabda Nabi s.a.w: Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu). (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1971).
* Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.
Sudah menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah.
Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberi menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.
Ali r.a berkata, Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik Baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya) serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1317).
* Tidak boleh berkongsi haiwan korban bagi ibadah korban dan akikah.
Ada segelintir umat Islam yang menggabungkan ibadah korban dan akikah dengan menggunakan formula dua dalam satu.
Hal ini sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sabit daripada Rasulullah. Syaikh Abu Muhammad ‘Ishom bin Mar’i dalam kitabnya Ahkamul Aqiqah berkata: “Dalam masalah ini pendapat yang benar adalah tidak sah menggabungkan niat akikah dengan korban. Sebab akikah dan korban adalah ibadah yang berbeza jika ditinjau dari segi bentuknya dan tidak ada dalil yang menjelaskan sahnya mengerjakan salah satunya dengan niat dua amalan sekali gus. Sedangkan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Rasulullah dan Allah tidak pernah lupa.”
PENDAPAT 2
salam
Apakah hukumnya memotong kuku/rambut pada 1-10 Dzulhijjah bagi orang yg diniatkan haiwan korban kepadanya?
Apakah dalilnya? Terima kasih
wassalam
Jawab:
Kemafa'afan dipinta dan tahniah.
Kemafa'an kerana kelewatan menjawab soalan anda sehingga luputnya Hari Raya. Sebabnya kerana sistem Ahkam ada gangguan
tahniah kerana anda meminta dalil. Ini bermakna ada seorang muttabi'. (ingin beramal setelah melihat dalilnya dulu)
Dalil: HR aljama'ah (kecuali alBukhari) dari Ummu Salamah ra: (sabda) "apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, jika ada di antara kamu yg mahu berkurban, hendaklah dibiarkan rambut, bulu dan kukunya."
Jumhur (kecuali Hanafi) : makruh hukumnya.alhafeedz asySyaukani meletak dua hadis: # 2711 dan 2712 dalam nailool Awthornya.
Sebab ditegah memotong kuku ialah supaya seluruh tubuhnya terhindar dari neraka. WA
_______________________
Assalamu'alaikum
Sebagai tambahan kepada jawapan sheikh THTL mengenai sebab-sebab larangan memotong kuku dan rambut, menurut bekas Mufti Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Baaz (Fatawa Islamiyyah 2/316) bahawa :
"Hikmah larangan ini ialah apabila seorang itu ingin menawarkan korban, dia seolah-olah menyertai jemaah Haji didalam salah satu ibadat Haji - dengan kata lain mendekatkan dirinya kepada Allah swt dengan menyembelih korban, dia juga menyertai beberapa ciri-ciri Ihram, iaitu dilarang memotong rambut dan sebagainya."
wallahu'alam
No comments:
Post a Comment